1/25/2006

begitulah UM

Malam 28 Januari lepas, saya menerima satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang teman yang secara gurau marah-marah kepada saya sebab syarikatnya kehilangan RM 2juta. Pada mulanya saya tidak faham kerana saya amat sibuk pada hari tersebut membuat persiapan untuk bercuti di Cameron Highland sehingga tidak sempat menonton Buletin Utama.
Apabila mengetahui kisah syarikat keselamatan Securicor dirompak di Universiti Malaya (UM), saya hanya tersenyum. Bukan tidak prihatin, tetapi saya sedia maklum bagaimana tahap kawalan keselamatan di UM. Mungkin masyarakat luar baru sedar kerana nilai rompakan adalah RM 2juta, tetapi cacatan menunjukkan UM sudah sekian lama menjadi sasaran kes curi. Pada tahun 2005 banyak mencatatkan kecurian motorsikal, harta benda termasuk laptop, telefon bimbit dan barangan berharga lain di beberapa kolej kediaman dan fakulti.
Memang tidak dinafikan UM menjadi laluan utama jalan pintas ke Petaling Jaya dan Kuala Lumpur oleh masyarakat luar. Tetapi penguatkuasaan yang longgar menjadikan laluan UM seperti lebuhraya tidak bertol yang boleh digunakan bila-bila masa dan sesuka hati oleh sesiapa sahaja tidak kira malam, tengah malam, awal pagi malah hari cuti. Hanya apabila berlaku kes-kes tersebut, barulah kawalan diperketatkan. Itupun untuk sehari dua, kemudiannya kembali seperti biasa. Persoalan timbul, kenapa kawalan ketat tidak dilakukan sepanjang masa. Usah peduli masyarakat luar yang mencari jalan pintas kerana kawasan UM adalah hak UM. UM boleh mengenakan sekatan-sekatan yang sewajarnya dan pihak luar tiada hak mempersoalankannya.
Dalam satu wawancara, Prof. Dato' Dr. Razali Agus memberi kenyataan bahawa akan memasang cctv di sekitar UM. Sekali lagi saya tersenyum. Pertama, beliau merupakan TNC Hal Ehwal Pelajar & Alumni yang kapasitinya langsung tidak melibatkan keselamatan, prasarana dan jalan-jalan di UM. Kedua, cctv telah dipasang dikebanyakkan kolej-kolej kediaman, tetapi kes curi tetap berlaku. Hal ini kerana, alat tersebut dipasang bermotifkan politik bagi memantau kegiatan mahasiswa yang dicop kononnya pro-pembangkang sehingga surau pun dipasang cctv.
Memang menjadi budaya masyarakat Malaysia, bila terhantuk baru terngadah. Dan yang terhantuk itu mesti orang-orang besar, atau semua orang terhantuk. Kalau tidak mana-mana isu pun dipandang sepi. Sampai ada orang menyebut, kalau nak selesaikan masalah, cari TV3.