5/18/2009

Trivia H1N1

virus influenza A H1N1 telah merebak sampai ke malaysia. dua kes telah di kesan dan penumpang-penumpang dan anak kapal MH091 dan AK5358 telah dikuarantin di rumah masing-masing. Mutasi virus demam selesema sentiasa berlaku dan berubah yang menyebabkan perubahan kecil protein di permukaannya yang dikenali sebagai antigen. Sistem daya tahan atau imun badan mungkin kebal terhadap jangkitan itu jika ia pernah berdepan virus sama sebelum ini, tetapi boleh menjadi lemah jika ia membabitkan antigen baru.

Selesema babi atau jenis baru virus H1N1 yang menggabungkan genetik babi, manusia dan burung bukan setakat mendatangkan gejala seperti demam dan dijangkiti menerusi sentuhan langsung dengan babi selain tersebar dari manusia kepada manusia, namun boleh menyebabkan maut. Virus ini sudah pun menunjukkan tanda-tanda penularan hampir di seluruh dunia dan kebanyakan pakar percaya usaha mengawalnya pada era yang menyaksikan perjalanan udara suatu kelaziman, sememangnya amat sukar. Simptom selesema babi sama seperti jenis yang mencetuskan demam selesema yang sering berlaku, seperti demam, batuk, sakit tekak, sengal badan, kesejukan dan lemah atau lesu.


INFO: Tahap Amaran Pandemik Selesema Babi
  • Tahap 1 - Penularan virus selesema di kalangan haiwan dan tidak menjangkiti manusia.

  • Tahap 2 - Penularan virus selesema di kalangan haiwan dan menjangkiti manusia.

  • Tahap 3 - Tiada penularan atau penularan virus selesema yang terhad antara manusia ke manusia tetapi tidak menyebabkan wabak dalam komuniti.

  • Tahap 4 - Berlaku penularan virus selesema antara manusia kepada manusia serta boleh menyebabkan wabak di kalangan komuniti.

  • Tahap 5 - Berlaku penularan virus selesema antara manusia kepada manusia di sekurang-kurangnya dua negara dalam satu rantau WHO dan memberi `isyarat kuat' bahawa pandemik pasti berlaku.

  • Tahap 6 - Fasa pandemik yang menunjukkan wabak menular ke seluruh dunia.


Sejarah pandemik demam selesema
  • Wabak Peloponnesian - 30,000 maut

    Seramai 30,000 penduduk Athens mati pada 430 Sebelum Masihi ketika peperangan Peloponnesia antara penduduk Athens dengan Sparta. Selain pening, gejala lain seperti ruam kulit, demam, batuk darah, sakit perut, muntah dan dahaga yang teruk hinggakan ada yang terjun ke dalam perigi.

  • Wabak Antonine Plague - Lima juta mati

    Wabak sempena nama Maharaja Rom, Marcus Aurelius Antoninus yang mati pada 180 Selepas Masihi. Wabak ini dibawa ke Rom oleh tentera yang pulang daripada berperang dari Mesopotamia. Ia merebak ke benua kecil Asia, Mesir, Greek dan seluruh empayar Rom dan meragut lima juta nyawa dalam masa 15 tahun.

  • Wabak Justinian Plague � Kira-kira 25 juta hingga 100 juta kematian

    Namanya sempena Maharaja Byzantine, Justinian dan wabak ini dipercayai berasal sama ada di wilayah Asia Tengah atau Ethiopia (Habsyah). Ia menjadi kes pertama wabak bubonik dicatatkan dan berlaku selama 50 tahun yang meragut 25 juta hingga 100 juta nyawa. Perdagangan dunia turut lumpuh.

  • Wabak 'Black Death' - 25 juta kematian

    Ia melanda pada zaman pertengahan Eropah dari akhir 1347 hinggalah awal 1351. Ia dikatakan disebarkan oleh kutu dan tikus. Mangsa lazimnya mati dalam kesakitan dalam masa lima hari selepas dijangkiti kuman itu.

  • Wabak Selesema Sepanyol - Lebih 50 juta kematian

    Ia berlaku pada 1918 dan menjadi kes terburuk pernah berlaku dalam era sejarah moden dan disebabkan sejenis virus selesema H1N1 dijangkiti kira-kira 40 peratus jumlah penduduk dunia ketika itu. Ia meragut lebih 50 juta kematian, majoritinya mereka golongan muda.

  • Wabak Selesema Asia - Empat juta maut

    Berlaku pada 1957, membabitkan itik liar di Guizhou, selatan China dan melalui proses mutasi dengan jenis virus manusia. Menular ke Singapura pada Februari 1957, Hong Kong pada April dan Amerika Syarikat pada Jun tahun sama. Jangkitan paling ramai di kalangan pelajar sekolah, golongan muda, wanita hamil serta orang tua yang mencatatkan kumpulan paling ramai mati.

  • Wabak Selesema Hong Kong - Sejuta maut

    Dikesan pada 1968, kes pertama dikesan di Hong Kong yang disebabkan jenis virus dikenali H3N2 yang meragut sejuta nyawa di seluruh dunia. Ia kembali pada pada 1970 dan 1972. Mangsa berusia 65 tahun ke atas paling ramai mati.

  • Sindrom Pernafasan Yang Teruk (Sars) - 800 kematian

    Dikesan di Guangdong, selatan China pada 2002 tetapi menjadi tumpuan ramai pada Februari 2003 selepas kematian seorang ahli perniagaan Amerika Syarikat dalam pesawat pulang dari Shanghai. Virusnya mudah tersebar secara pantas ke Kanada, Amerika dan beberapa negara Asia. Daripada 8,096 kes, 774 kematian dilaporkan.

  • Selesema Burung

    Ada banyak jenis selesema burung. Jenis paling bahaya H5 dan H7 sering menyebabkan kematian unggas dan jenis yang paling dibimbangkan adalah H5N1. Ia hanya diketahui menyerang unggas sehinggalah kes pertama jangkitan manusia dikesan di Hong Kong pada 1997. Data WHO menunjukkan 256 maut di seluruh dunia sejak 2003 dan saintis turut memantau perkembangannya kerana bimbang mutasi berlaku dan boleh dijangkiti berjuta-juta penduduk dunia.

  • Demam Selesema - Meragut 250,000 - 500,000 kematian setiap tahun

    Tersebar ke seluruh dunia setiap tahun dan memuncak ketika musim sejuk. Pihak berkuasa kesihatan mengesyorkan pemberian suntikan vaksin, khususnya kepada kanak-kanak dan warga tua. Amalan kerap membasuh tangan dan sentiasa sihat, menjadi perlindungan terbaik.

4/15/2009

Saya anak Malaysia

  1. Lagu Terang Bulan, lagu kebangsaan negeri Perak telah dipilih menjadi lagu kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Pemilihan ini dibuat oleh jemaah hakim yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra.Upacara pemilihan lagu kebangsaan ini berlangsung di Dewan Polis Depoh, Kuala Lumpur. Sebanyak 4 buah lagu telah diperdengarkan oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja. Walau bagaimanapun lagu Terang Bulan telah terpilih kerana ia mempunyai unsur kemelayuan. Keputusan jemaah hakim ini kemudian telah dikemukakan kepada Majlis Raja-raja Melayu. Setelah dipersetujui, kerajaan telah mengeluarkan tawaran RM1 000 kepada pengubah untuk mencipta seni katanya. Tawaran ini telah dimenangi oleh Encik Saiful Bahri dan lagu kebangsaan 'NegaraKu' gubahan beliau terdapat dalam 3 versi.
  2. Syarikat petroleum nasional, PETRONAS telah ditubuhkan pada 1974. Pada ulang tahunnya yang ke30 baru-baru ini, kumpulan syarikat ini telah memiliki lebih daripada 100 anak syarikat dan syarikat bersekutu di lebih daripada 30 negara di seluruh dunia dan merupakan antara syarikat Fortune Global 500.
  3. Apabila Jepun memerintah negara ini pada tahun 1942, waktu Tanah Melayu ditukar mengikut waktu Tokyo iaitu 2 jam lebih awal hinggalah pada tahun 1945. Apabila Jepun kalah 1945, waktu Persekutuan Tanah Melayu digunakan semula. Pada 3 Disember 1981 Malaysia mempercepatkan waktu sebanyak 30 minit untuk menyeragam waktu dengan Sabah dan Sarawak.
  4. Pada 28 Feb 1983, Universiti Toronto menjadi universiti yang pertama di Kanada memperkenalkan Bahasa Malaysia sebagai mata pelajaran di Jabatan Kajian Bahasa di Universiti tersebut.
  5. Jambatan Pulau Pinang merupakan jambatan terpanjang di Asia dan ketiga terpanjang di dunia telah dibina pada tahun 1980-1985 yang menghubungkan Gelugor dan Seberang Prai. Jambatan sepanjang 15.5 km telah dirasmikan oleh Dr Mahathir Mohamed pada 15 Sept 1985.
  6. Pada Jun 1987, MIMOS melancarkan ISP pertama bagi Malaysia, yang diberi nama RangKoM (Rangkaian Komputer Malaysia). Rangkaian data komputer pertama di Malaysia telah dilancarkan pada Jun 1987. Diberi nama 'Rangkaian Komputer Malaysia' (RangKom), rangkaian ini telah menghubungkan universiti-universiti utama di dalam negara.
  7. Perasmian tiang bendera Malaysia setinggi 100 meter (300 kaki) di Dataran Merdeka pada Julai 1989. Tiang yang tertinggi di dunia ini mengibarkan bendera sebesar 10.62 meter (30 kaki) lebar dan 21.34 meter panjang (70 kaki).
  8. Apabila Malaysia memasuki era Internet pada 1995, Perdana Menteri ketika itu Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad menjadi ketua kerajaan pertama di dunia yang mengadakan sidang media secara langsung melalui Internet.
  9. Menara Petronas dirasmikan pada Disember 1996. Dengan ketinggian 451.9 meter, bangunan berkembar dua ini mempunyai 88 tingkat dan disambungkan 170 meter dari paras jalanraya. Sekumpulan 22 orang anggota Bomba dan Penyelamat yang terdiri daripada 22 anggota lelaki dan seorang wanita telah berjaya melakukan operasi menyelamat di menara berkembar tertinggi di dunia. Menara Berkembar Petronas setinggi 452 meter. Walaupun ia sekadar latihan, operasi ini mencatat rekod Guinness sebagai operasi menyelamat kebakaran yang tertinggi di dunia.
  10. KLIA merupakan lapangan terbang tercanggih di Asia dan dibina di Sepang, 50 km dari Kuala Lumpur. Dirasmikan pada 28 Jun 1998, lapangan terbang ini mempunyai menara kawalan tertinggi di dunia, dan sewaktu dalam pembinaan, ia merupakan tapak pembinaan lapangan terbang terbesar pernah dibuat.
  11. Pada 15 - 17 Oktober 1999, Malaysia buat kali pertama telah menganjurkan acara paling berprestij dalam sukan lumba motor iaitu Kejohanan Dunia Formula One (F1) di Litar Antarabangsa Sepang. Litar F1 Sepang ialah satu-satunya litar lumba di dunia yang diberikan penghormatan untuk memasukkan logo F1 di dalam nama rasminya. Litar canggih yang menggabungkan teknologi senibina dan kejuruteraan moden dengan ciri-ciri budaya Malaysia ini boleh menampung 130,000 penonton, termasuk 30,000 di anjung utama dwi-hadapan. Anjung dwi-hadapan ini adalah yang pertama seumpamanya dibina di dunia.
  12. Sistem transit rel ringan PUTRA yang menghubungkan kawasan-kawasan sub-bandar di sebelah timur dan barat Kuala Lumpur merupakan sebahagian dari sistem pengangkutan moden di bandar raya itu. Sistem yang meliputi laluan sejauh 29km ini adalah sistem kereta api ringan automatik tanpa pemandu terpanjang di dunia pada tahun pertama operasinya, sehingga perkhidmatan kereta api ringan di Lille, France dipanjangkan kepada 32km pada tahun 2000.
  13. Istana Budaya (dahulunya dikenali sebagai Panggung Negara) di Kuala Lumpur adalah salah sebuah panggung yang pertama di Asia yang mempunyai kemudahan pentas yang canggih untuk pementasan acara kesenian dan kebudayaan. Ini meletakkannya dalam senarai sepuluh panggung yang tercanggih di dunia. Direkabentuk oleh arkitek tempatan, Muhammad Kamar Ya'akub dan dibangunkan dengan kos RM210 juta, kompleks ini meliputi kawasan seluas 5.44 hektar dengan ukuran lantai seluas 21,000 meter persegi. Bentuk binaan utama Istana Budaya direka mengikut gubahan sirih junjung, manakala pelan lantai bangunan ini disusun berkonsepkan rumah tradisional Melayu yang mempunyai tiga bahagian iaitu tangga utama dan serambi (lobi), rumah ibu (auditorium) dan dapur (pentas utama dan dewan latihan).
  14. Universiti Multimedia (MMU) memperkenalkan skrol elektronik pada 26 Februari 2000, dan menjadi universiti pertama di dunia memperkenalkan skrol elektronik. Di dalam skrol ini, graduan akan diberikan sebuah CD-ROM dan kad pintar b erasaskan kad mikrocip yang merekodkan segala maklumat graduan. Dokumen digital ini menggunakan teknologi kritografi yang memberikan perlindungan sepenuhnya terhadap maklumat yang terkandung di dalamnya.
  15. Bahasa Melayu kini merupakan kumpulan bahasa keempat terbesar di dunia dan kedua terbesar di Asia, dengan 250 juta orang penutur di Asia Tenggara dan 300 juta penutur di seluruh dunia.
  16. Pada April 2001, Malaysia menjadi negara pertama di dunia mengeluarkan Kad Pintar Pelbagai Guna yang memuatkan pelbagai aplikasi Kerajaan dan aplikasi pembayaran. Kad ini adalah satu daripada tujuh aplikasi perdana yang dibangunkan di bawah Koridor Raya Multimedia (MSC).
  17. Pada Mei 2003, Malaysia ditarafkan sebagai negara keempat paling berdaya saing di kalangan negara-negara berpenduduk lebih daripada 20 juta. Penarafan ini dibuat berdasarkan kajian tahunan yang dibuat oleh Sekolah Perniagaan IMD di Lausanne, Switzerland.
  18. Kejayaan terbesar menjuarai Terbuka Dunia di Hong Kong meletakkan ratu skuasy wanita sama taraf dengan atlit sukan terbilang negara. Tiada siapa yang mampu menafikan Nicol Ann David, gadis kelahiran Pulau Pinang untuk bergelar juara dunia sekali gus ditabalkan sebagai pemain nombor satu dunia.
  19. 30 Mac 2007-Jalan terowong bawah tanah atau juga dikenali sebagai terowong SMART bernilai RM1.9 bilion menjadi laluan alternatif kepada 200,000 pengguna jalan raya. Laluan kira-kira empat kilometer itu bakal memendekkan masa perjalanan kepada lima minit dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sungai Besi menuju ke Bulatan Kampung Pandan. Projek SMART atau singkatan kepada Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir yang dimulakan pada Januari 2003 dirangka, dengan dwifungsi utama iaitu untuk mengatasi masalah banjir di ibu negara dan sebagai laluan trafik. Sebagai terowong lencongan air ketika banjir kilat melanda ibu negara, ia mampu menampung sehingga tiga juta meter padu air dengan mengalihkan dari Sungai Klang di Kampung Berembang, Ampang melalui terowong ke kolam tadahan terletak di Taman Desa, Jalan Klang Lama seterusnya dilepaskan secara terkawal ke Sungai Kerayong. Pada waktu yang sama, ia digunakan untuk laluan alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.